Menurut Carr dan Kemmis
(1986), terdapat dua tujuan utama pelaksanaan sesuatu kajian tindakan:
(a) Menambah baik - merujuk kepada penambahbaikan dalam tiga peringkat
iaitu:
- Penambahbaikan terhadap amalan.
- Penambahbaikan kefahaman terhadap
amalan oleh pengamal.
- Penambahbaikan terhadap situasi di
mana amalan diamalkan.
(b) Melibatkan - merujuk kepada penglibatan
pengamal yang mengamalkan sesuatu bidang.
Dalam
bidang pendidikan, sering kali akan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan
amalan pengajaran dan pembelajaran, dan ini menuntut pemulihan keadaan.
Misalnya, katakan sebilangan pelajar tidak berminat terhadap sesuatu mata
pelajaran apabila diajar oleh seorang guru yang baru mengambil alih tugas
daripada guru lain. Situasi sebegini dapat diatasi melalui pelaksanaan suatu
penyelidikan bagi mengembalikan minat kumpulan pelajar berkenaan terhadap mata
pelajaran tersebut, yakni suatu penambahbaikan terhadap amalan. Penyelidikan
juga boleh dijalankan bagi memahami punca minat sekumpulan pelajar menurun
apabila berlaku pertukaran guru yang mengajar; untuk mengetahui sama ada
perubahan yang berlaku adalah berikutan ciri guru atau ciri topik yang diajar
oleh guru - suatu penambahbaikan terhadap kefahaman guru terhadap amalan. Malah
penyelidikan tindakan juga dapat dilaksanakan bagi mengubah situasi di mana
masalah kekurangan minat berlaku, contohnya dengan mewujudkan elemen baru.
Misalnya, penggunaan pendekatan bercerita dalam pengajaran guru bagi
meningkatkan kembali minat terhadap pengajaran.
Ini
bermakna, kajian tindakan bukan sahaja membantu memahami amalan serta menambah
baik amalan, malah membantu menyesuaikan amalan dengan perubahan yang berlaku
di luar, serta mengubah apa yang berlaku di luar bagi menambah baik amalan.
Sebagai contoh, kemunculan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menuntut
guru menyesuaikan amalan pengajarannya dengan mengemas kini fakta-fakta yang
disampaikan; fakta-fakta terkini dapat dicapai melalui internet. Guru juga
boleh mencari jalan untuk mengesan dan menghalang amalan memplagiat dalam
kalangan pelajarnya dengan menggunakan kemudahan internet; seperti mewajibkan
pelajar menyertakan senarai rujukan alamat URL laman web yang dirujuk oleh
pelajar. Suatu lagi matlamat kajian tindakan ialah memastikan penambahbaikan
berlaku terhadap guru dari segi kefahaman terhadap perubahan yang berlaku serta
amalan bertindak balas dengan perubahan itu.
Kesimpulannya,
kajian tindakan adalah untuk melibatkan guru dalam proses penambahbaikan dalam
bidang tugasnya iaitu menggalakkan guru menyelesaikan masalah amalan harian
dengan membuat refleksi bagi mendapatkan idea dan strategi baru dalam usaha
membawa pembaharuan dan kemajuan serta menggalakkan guru menyelidik
amalan-amalan yang ingin diperbaiki dalam kerja mereka dalam kelas untuk
membaiki tindakan dan menilai hasil dan keberkesanan usaha itu.Dalam hal ini
guru diberi kuasa untuk membuat keputusan dalam bilik darjahnya yang boleh
menambah tingkat tahap keprofesionalisme yang dimilikinya.
No comments:
Post a Comment