Sunday, 29 March 2015

Konsep dan Definisi Kajian Tindakan

Secara amnya kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan ke atas amalan oleh pengamal, baik secara individu mahupun bersama pengamal lain; untuk mengubah dan menambah baik amalan sedia ada. Dalam bidang pendidikan, pengamal boleh terdiri daripada seorang guru, pentadbir atau seseorang kaunselor sekolah, atau individu lain yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, lazimnya kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan yang dijalankan oleh guru untuk memperbaiki amalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, guru boleh menyelidik kaedah pengajaran dan bahan pengajaran yang digunakannya untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajarannya.

Guru juga boleh menjalankan penyelidikan ke atas para pelajarnya bagi mengenal pasti kesukaran yang dihadapi oleh mereka  dalam memahami sesuatu perkara atau topik yang diajar. Melalui penyelidikan yang dijalankan, guru akan beroleh maklumat bagi merangka suatu tindakan yang bakal diambil, diikuti oleh suatu penyemakan sama ada tindakan yang diambil itu berkesan atau tidak. Sekiranya tidak berkesan, maklumat baru akan dikumpul bagi membuat tindakan susulan dengan diikuti penyemakan seterusnya. Penyelidikan ini dijalankan secara berterusan sehinggalah penyelesaian ditemui untuk masalah yang dihadapi. Oleh  itu, kajian tindakan boleh dikatakan menghubungkan suatu penyelidikan dengan tindakan agar tindakan yang diambil oleh guru adalah tindakan yang berasaskan fakta atau maklumat yang diperoleh melalui penyelidikan yang dijalankan oleh guru sendiri sebagai pengamal.

Terdapat beberapa definisi yang sering dirujuk tentang kajian tindakan:

Elliot (1981) - Elliot menyifatkan kajian tindakan sebagai suatu kerangka penilaian kendiri (framework for self evaluation) dan pendekatan yang digunakan, mementingkan aktiviti refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk memperbaiki atau mengubah amalan kendiri dalam lingkungan situasi sosial yang terdiri daripada guru, pelajar, pentadbir, ibu bapa dan individu-individu lain yang berkepentingan. Menurutnya, kajian tindakan juga merupakan penyelidikan situasi sosial yang bertujuan untuk memperbaiki kualiti tindakan dalam lingkungan sendiri. Definisi yang selalu dijadikan rujukan, khususnya di Malaysia, ialah kajian tindakan guru berkaitan dengan permasalahan harian yang dilalui oleh guru, bukannya masalah teoritikal seperti mana yang dikemukakan oleh penyelidik akademik.

Ebbut (1985) - Ebbut mendefinisikan kajian tindakan sebagai suatu penyelidikan yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan  melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.

McNiff (1988) - McNiff mendefinisikan kajian tindakan sebagai satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menyedari amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut, dan bersedia untuk mengubahnya. Kajian ini melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka, di samping melibatkan guru-guru lain.

Cochran & Lytle (1990) -  Cochran & Lytle mentakrifkan kajian tindakan sebagai penyelidikan berasaskan bilik darjah yang merupakan inisiatif guru dan dilaksanakan oleh guru. Penyelidikan yang dijalankan membolehkan guru meneroka isu-isu yang menarik perhatian mereka. Pendekatan ini juga membolehkan ilmu guru dijadikan sebahagian daripada literatur pendidikan dan seterusnya, secara tidak langsung, menyumbang ke arah pembinaan struktur pendidikan.
Kember & Gow (1992) - Kember & Gow menyatakan kajian tindakan melibatkan pengamal (guru) yang cuba membaiki pengajaran mereka melalui lingkaran yang melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian, dan refleksi.

Calhoun (1993) - Calhoun menyatakan bahawa kajian tindakan boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kajian tindakan individu (individual action research), di mana kajian tindakan dilaksanakan oleh guru secara bersendirian; kajian tindakan kolaboratif (collaborative action research), iaitu penyelidikan yang dilaksanakan oleh sekumpulan guru dengan individu di institusi pengajian tinggi atau yang setaraf dengannya; school wide action research, iaitu penyelidikan yang melibatkan seluruh staf atau guru bersama konsortium sekolah.
McBride & Schostak (1994) - kajian tindakan merupakan refleksi tentang pengajaran sendiri yang dilakukan dalam satu putaran perubahan, di mana fokus utama adalah untuk memperbaiki amalan  kendiri.

Konsep Kajian Tindakan
Kemmis dan McTaggart (1988), menggariskan beberapa konsep penting dalam kajian tindakan iaitu:
  •           Kajian tindakan adalah suatu pendekatan bagi menambah baik atau membaiki pendidikan dengan cara melakukan perubahan dan mempelajarinya akibat daripada perubahan tersebut.
  •           Kajian tindakan adalah bersifat penglibatan (participatory) iaitu berusaha ke arah memperbaiki amalan mereka sendiri.
  •          Kajian tindakan dilakukan melalui kitaran refleksi kendiri (self-reflectivespiral) iaitu suatu kitaran gelungan yang terdiri daripada merancang, melaksana, menilai, mereflek dan seterusnya merancang sekali lagi, melaksana, menilai, mereflek.
  •           Kajian tindakan dilakukan secara kolaboratif iaitu melibatkan mereka yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tindakan dan bagi memperbaiki suatu amalan pendidikan.
  •          Kajian tindakan melibatkan aktiviti menyimpan rekod, mengumpul dan menganalisis pertimbangan (judgement), reaksi dan tanggapan terhadap apa yang berlaku sebagai bukti. 

No comments:

Post a Comment