Wednesday, 8 April 2015

Profile Diri Cikgu Farahin




Nama                        :   Nurfarahi binti Abdul Latiff  
No. Matrik              :   D20111047513
Semester                 :   2 sesi 2014/2015
Program Major     :   Bahasa Melayu
Program Minor     :   Kesusasteraan Melayu
Email                        :   nur.aain@yahoo.com
Prinsip Hidup       :   Usaha Selagi Terdaya
Sekolah Latihan  :   Sekolah Menengah Kebangsaan
Mengajar                    Ambrose, Ayer Tawar

Jawatan yang pernah disandang di Sekolah Menengah Kebangsaan Ambrose (SMKA) :
1.         Penolong Setiausaha Program Sempena Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan
2.      AJK Persembahan Sempena Majlis Persaraan Pengetua
3.       AJK Cenderahati Sempena Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar
4.            AJK Makanan Sempena  Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri
5.            AJK Makanan Sempena Majlis Berbuka Puasa
6.            Guru Kadet Remaja Sekolah
7.            Guru Persatuan Bahasa Melayu

Jawatan yang pernah disandang di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) :
1.     Mantan AJK Kelab SPR UPSI.
2.         AJK Pelaksana Aktiviti UKLK UPSI
3.         Ahli kelab rakan Exco PERMATA
4.         Ahli Kelab Fasilitator Bitara UPSI (KeFB).
5.         Kelab Rakan Siswa Malaysia (KARISMA) SESI 2012/2013

Tuesday, 31 March 2015

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Ambrose


Sekolah Menengah Kebangsaan Ambrose (SMKA)


Sekolah ini telah ditubuhkan pada 3 Januari 1965 dengan 5 orang guru dan 171 orang pelajar. Pada awalnya sekolah ini menumpang di SM Persendirian Shyr Tian Ayer Tawar dan dinamakan dengan Sekolah Menengah  Rendah (SMR) Ayer Tawar. Pengetua pertama sekolah ini ialah En. Saw Swee Lim. Pada tahun 1968, dengan keluasan seluas 9.8 ekar di tepi jalan besar ke Sitiawan, bangunan  baru telah dibina  iaitu 3 blok  bangunan 2 tingkat dengan 15 bilik darjah, 2 makmal sains, pejabat, bilik guru, tandas dan sebuah bangunan kantin. 

         Kali pertama pelajar-pelajar sekolah ini  menduduki Peperiksaan LCE adalah pada tahun 1968 dengan jumlah calon sebanyak 86 dan bagi peperiksaan MCE pula bermula pada tahun 1970. Pada tahun 1973, sekolah ini telah dirasmikan dengan menggunakan nama baru iaitu SMK Ambrose,  sempena nama Ketua Pengarah Pelajaran Perak pada tahun 1960an. Pada tahun 1994, sekolah ini telah dinaikkan taraf kepada sekolah gred A.

         Pada tahun 2008, kelas Pendidikan Khas telah diwujudkan di sekolah ini bagi memenuhi permintaan penduduk  sekitar Ayer Tawar. Kini terdapat 104 orang guru dan pelajarnya menjangkau hampir 1300 bagi sesi pagi dan sesi petang. Terdapat 14 orang kakitangan bukan guru yang bertugas di SMK Ambrose.

         SMK Ambrose berusia 49 tahun dan dengan kata keramatnya 'Ilmu Untuk Maju' dan ‘Sekolah Unggul Penjana Terbilang’. Visi dan Misi sekolah ini adalah selaras dengan Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu  
"Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera" dan "Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara"

Sunday, 29 March 2015

Konsep dan Definisi Kajian Tindakan

Secara amnya kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan ke atas amalan oleh pengamal, baik secara individu mahupun bersama pengamal lain; untuk mengubah dan menambah baik amalan sedia ada. Dalam bidang pendidikan, pengamal boleh terdiri daripada seorang guru, pentadbir atau seseorang kaunselor sekolah, atau individu lain yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, lazimnya kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan yang dijalankan oleh guru untuk memperbaiki amalan dalam pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, guru boleh menyelidik kaedah pengajaran dan bahan pengajaran yang digunakannya untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajarannya.

Guru juga boleh menjalankan penyelidikan ke atas para pelajarnya bagi mengenal pasti kesukaran yang dihadapi oleh mereka  dalam memahami sesuatu perkara atau topik yang diajar. Melalui penyelidikan yang dijalankan, guru akan beroleh maklumat bagi merangka suatu tindakan yang bakal diambil, diikuti oleh suatu penyemakan sama ada tindakan yang diambil itu berkesan atau tidak. Sekiranya tidak berkesan, maklumat baru akan dikumpul bagi membuat tindakan susulan dengan diikuti penyemakan seterusnya. Penyelidikan ini dijalankan secara berterusan sehinggalah penyelesaian ditemui untuk masalah yang dihadapi. Oleh  itu, kajian tindakan boleh dikatakan menghubungkan suatu penyelidikan dengan tindakan agar tindakan yang diambil oleh guru adalah tindakan yang berasaskan fakta atau maklumat yang diperoleh melalui penyelidikan yang dijalankan oleh guru sendiri sebagai pengamal.

Terdapat beberapa definisi yang sering dirujuk tentang kajian tindakan:

Elliot (1981) - Elliot menyifatkan kajian tindakan sebagai suatu kerangka penilaian kendiri (framework for self evaluation) dan pendekatan yang digunakan, mementingkan aktiviti refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk memperbaiki atau mengubah amalan kendiri dalam lingkungan situasi sosial yang terdiri daripada guru, pelajar, pentadbir, ibu bapa dan individu-individu lain yang berkepentingan. Menurutnya, kajian tindakan juga merupakan penyelidikan situasi sosial yang bertujuan untuk memperbaiki kualiti tindakan dalam lingkungan sendiri. Definisi yang selalu dijadikan rujukan, khususnya di Malaysia, ialah kajian tindakan guru berkaitan dengan permasalahan harian yang dilalui oleh guru, bukannya masalah teoritikal seperti mana yang dikemukakan oleh penyelidik akademik.

Ebbut (1985) - Ebbut mendefinisikan kajian tindakan sebagai suatu penyelidikan yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan  melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.

McNiff (1988) - McNiff mendefinisikan kajian tindakan sebagai satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menyedari amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut, dan bersedia untuk mengubahnya. Kajian ini melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka, di samping melibatkan guru-guru lain.

Cochran & Lytle (1990) -  Cochran & Lytle mentakrifkan kajian tindakan sebagai penyelidikan berasaskan bilik darjah yang merupakan inisiatif guru dan dilaksanakan oleh guru. Penyelidikan yang dijalankan membolehkan guru meneroka isu-isu yang menarik perhatian mereka. Pendekatan ini juga membolehkan ilmu guru dijadikan sebahagian daripada literatur pendidikan dan seterusnya, secara tidak langsung, menyumbang ke arah pembinaan struktur pendidikan.
Kember & Gow (1992) - Kember & Gow menyatakan kajian tindakan melibatkan pengamal (guru) yang cuba membaiki pengajaran mereka melalui lingkaran yang melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian, dan refleksi.

Calhoun (1993) - Calhoun menyatakan bahawa kajian tindakan boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kajian tindakan individu (individual action research), di mana kajian tindakan dilaksanakan oleh guru secara bersendirian; kajian tindakan kolaboratif (collaborative action research), iaitu penyelidikan yang dilaksanakan oleh sekumpulan guru dengan individu di institusi pengajian tinggi atau yang setaraf dengannya; school wide action research, iaitu penyelidikan yang melibatkan seluruh staf atau guru bersama konsortium sekolah.
McBride & Schostak (1994) - kajian tindakan merupakan refleksi tentang pengajaran sendiri yang dilakukan dalam satu putaran perubahan, di mana fokus utama adalah untuk memperbaiki amalan  kendiri.

Konsep Kajian Tindakan
Kemmis dan McTaggart (1988), menggariskan beberapa konsep penting dalam kajian tindakan iaitu:
  •           Kajian tindakan adalah suatu pendekatan bagi menambah baik atau membaiki pendidikan dengan cara melakukan perubahan dan mempelajarinya akibat daripada perubahan tersebut.
  •           Kajian tindakan adalah bersifat penglibatan (participatory) iaitu berusaha ke arah memperbaiki amalan mereka sendiri.
  •          Kajian tindakan dilakukan melalui kitaran refleksi kendiri (self-reflectivespiral) iaitu suatu kitaran gelungan yang terdiri daripada merancang, melaksana, menilai, mereflek dan seterusnya merancang sekali lagi, melaksana, menilai, mereflek.
  •           Kajian tindakan dilakukan secara kolaboratif iaitu melibatkan mereka yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tindakan dan bagi memperbaiki suatu amalan pendidikan.
  •          Kajian tindakan melibatkan aktiviti menyimpan rekod, mengumpul dan menganalisis pertimbangan (judgement), reaksi dan tanggapan terhadap apa yang berlaku sebagai bukti. 

Model-Model Kajian Tindakan


Pada asasnya, setiap kajian tindakan akan melibatkan dua unsur, iaitu menyelidik dan bertindak. Kedua-dua unsur ini kemudiannya dikembangkan dan diperincikan kepada model-model penyelidikan yang menjadi ikutan penyelidik tindakan.

1. Model Lewin (1946)
Menurut Lewin (1946), kajian tindakan memperlihatkan suatu kitaran langkah-langkah (a spiral of steps). Suatu kitaran kajian tindakan mempunyai empat langkah iaitu merancang (planning), memerhati (observing) dan mereflek (reflecting). Kitaran ini akan berterusan ke kitaran seterusnya yang melibatkan merancang semula, bertindak , memerhati dan mereflek bagi menghasilkan kitaran baru. Model kajian tindakan Lewin ini ditunjukkan dalam Rajah 1.


2. Model Kemmis & McTaggart (1988)
Kemmis dan McTaggart (1988) menjelaskan, bagi sesetengah kumpulan yang sudah merancang tindakan, mereka boleh memulakan langkah pertama seperti mana yang dikemukakan oleh model Lewin. Walau bagaimanapun, mereka berpendapat bahawa kebanyakan kumpulan akan memulakan peringkat awal refleksi bagi membuat tinjauan awal (initial reconnaissance) terhadap sesuatu situasi sebagai asas untuk merancang dan bertindak. Model ini ditunjukkan dalam Rajah 2.


3. Model Somekh (1989)

Model kajian tindakan Somekh melibatkan lapan fasa, iaitu mengenal pasti masalah atau fokus kajian yang diminati, mengumpul data, menganalisis data dan membina hipotesis, merancang pelan tindakan, melaksana pelan tindakan, mengumpul data untuk mengesan perubahan, menganalisis dan menilai serta  mengenal pasti fokus penyelidikan yang baru.



Aspek sistematik merupakan kekuatan model ini, di mana setiap langkah diperjelas dengan lebih terperinci, bermula daripada langkah yang mudah dan formal kepada langkah yang lebih terperinci. namun model ini kelihatan agak rumit untuk diikuti kerana memerlukan guru untuk mengikuti setiap langkah yang dinyatakan secara terperinci.

4. Model McKernan (1991)
Menurut model McKernan, kajian tindakan melibatkan sekurang-kurangnya dua lingkaran penyelidikan, di mana setiap lingkaran mempunyai enam peringkat, iaitu mengenal pasti masalah, meninjau, menentukan fokus penyelidikan, pelaksanaan rancangan, penilaian dan refleksi, dan membuat keputusan.
Kekuatan model ini terletak pada ketetapan bahawa sesuatu penyelidikan itu diklasifikasikan sebagai kajian tindakan hanya sekiranya penyelidikan tersebut telah melalui sekurang-kurangnya dua lingkaran penyelidikan. hal ini bermakna pendekatan yang dikemukakan oleh McKernan (1990) sangat menekankan proses membentuk perancangan dan proses penilaian semula perancangan serta membentuk semula perancangan untuk tujuan penambahbaikan. Walau bagaimanapun model ini tidak menyarankan amalan kolaboratif sebagaimana yang disarankan oleh Model CRASP Zuber-Skerritt. pendekatan McKernan juga tidak menitikberatkan pendedahan dapatan penyelidikan kepada umum.


5. Model McBride & Schostak (1994)

McBride & Schostak (1994) berpendapat, kajian tindakan adalah suatu kitaran yang bermula dengan mengenal pasti masalah atau fokus dan pengumpulan data awal bagi tujuan membentuk hipotesis tentang masalah tersebut. Kemudian, tindakan dibentuk dan dilaksanakan. Data akan dikumpulkan bagi melihat kesan pada perubahan atau tindakan tersebut. Hasil daripada analisis dan penilaian yang dilakukan, akan menentukan kitaran kajian tindakan akan bersambung ke kitaran selanjutnya. Model ini ditunjukkan dalam Rajah 6.



6. Model Johnson (2002)
Johnson (2002) menyatakan bahawa terdapat lima langkah pentingdalam proses pelaksanaan kajian tindakan . Langkah-langkah tersebut ialah : 
(i) mengenal pasti masalah, 
(ii) membuat perancangan berhubung data yang akan dipungut dan cara pemungutan 
(iii) memungut dan menganalisis data, 
(iv) merumus serta 
(v) berkongsi dapatan dan pelan tindakan dengan pihak lain yang berkaitan. Satu kelainan model ini ialah langkah terakhir, di mana penyelidik membincangkan persoalan penyelidikan dalam konteks teoritikal. Rajah 7 di bawah menggambarkan model ini.

Kekuatan utama model ini ialah penekanan terhadap aspek tinjauan literatur dalam penyelidikan. Pendekatan yang digunakan juga adalah lebih fleksibel kerana perbincangan persoalan penyelidikan dalam konteks teoritikal boleh dilakukan sama ada sebelum atau selepas penyelidikan dijalankan. Walau bagaimanapun pelaksanaan model ini mungkin memakan masa kerana tidak mempunyai langkah-langkah yang lebih berstruktur.

Tujuan Kajian Tindakan

Menurut Carr dan Kemmis (1986), terdapat dua tujuan utama pelaksanaan sesuatu kajian tindakan:

(a)  Menambah baik - merujuk  kepada penambahbaikan dalam tiga peringkat iaitu:
-           Penambahbaikan terhadap amalan.
-           Penambahbaikan kefahaman terhadap amalan oleh pengamal.
-           Penambahbaikan terhadap situasi di mana amalan diamalkan.

(b)  Melibatkan - merujuk kepada penglibatan pengamal yang mengamalkan sesuatu bidang.

Dalam bidang pendidikan, sering kali akan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan amalan pengajaran dan pembelajaran, dan ini menuntut pemulihan keadaan. Misalnya, katakan sebilangan pelajar tidak berminat terhadap sesuatu mata pelajaran apabila diajar oleh seorang guru yang baru mengambil alih tugas daripada guru lain. Situasi sebegini dapat diatasi melalui pelaksanaan suatu penyelidikan bagi mengembalikan minat kumpulan pelajar berkenaan terhadap mata pelajaran tersebut, yakni suatu penambahbaikan terhadap amalan. Penyelidikan juga boleh dijalankan bagi memahami punca minat sekumpulan pelajar menurun apabila berlaku pertukaran guru yang mengajar; untuk mengetahui sama ada perubahan yang berlaku adalah berikutan ciri guru atau ciri topik yang diajar oleh guru - suatu penambahbaikan terhadap kefahaman guru terhadap amalan. Malah penyelidikan tindakan juga dapat dilaksanakan bagi mengubah situasi di mana masalah kekurangan minat berlaku, contohnya dengan mewujudkan elemen baru. Misalnya, penggunaan pendekatan bercerita dalam pengajaran guru bagi meningkatkan kembali minat terhadap pengajaran.

Ini bermakna, kajian tindakan bukan sahaja membantu memahami amalan serta menambah baik amalan, malah membantu menyesuaikan amalan dengan perubahan yang berlaku di luar, serta mengubah apa yang berlaku di luar bagi menambah baik amalan. Sebagai contoh, kemunculan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menuntut guru menyesuaikan amalan pengajarannya dengan mengemas kini fakta-fakta yang disampaikan; fakta-fakta terkini dapat dicapai melalui internet. Guru juga boleh mencari jalan untuk mengesan dan menghalang amalan memplagiat dalam kalangan pelajarnya dengan menggunakan kemudahan internet; seperti mewajibkan pelajar menyertakan senarai rujukan alamat URL laman web yang dirujuk oleh pelajar. Suatu lagi matlamat kajian tindakan ialah memastikan penambahbaikan berlaku terhadap guru dari segi kefahaman terhadap perubahan yang berlaku serta amalan bertindak balas dengan perubahan itu.


Kesimpulannya, kajian tindakan adalah untuk melibatkan guru dalam proses penambahbaikan dalam bidang tugasnya iaitu menggalakkan guru menyelesaikan masalah amalan harian dengan membuat refleksi bagi mendapatkan idea dan strategi baru dalam usaha membawa pembaharuan dan kemajuan serta menggalakkan guru menyelidik amalan-amalan yang ingin diperbaiki dalam kerja mereka dalam kelas untuk membaiki tindakan dan menilai hasil dan keberkesanan usaha itu.Dalam hal ini guru diberi kuasa untuk membuat keputusan dalam bilik darjahnya yang boleh menambah tingkat tahap keprofesionalisme yang dimilikinya.

Proses Kajian Tindakan

PROSES KAJIAN TINDAKAN

Ada lima proses penting dalam melaksanakan kajian tindakan iaitu:
  • -          mengenal pasti masalah
  • -          membina rancangan tindakan
  • -          melaksana tindakan
  • -          memerhati kesan pelaksanaan
  • -          mereflek

1. Mengenal pasti Masalah
Suatu kajian tindakan bermula dengan satu idea bahawa suatu perubahan atau penambahbaikan diperlukan dalam amalan guru. Idea tersebut akan terbit daripada rasa prihatin guru terhadap sesuatu perkara praktikal berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan, di mana suatu masalah sedang dihadapi.         
Contohnya, apabila hampir separuh pelajar sebuah kelas gagal dalam ujian topikal yang baru dijalankan yang membuatkan guru berasa sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan kembali situasi; guru mendapati segelintir pelajarnya tidak memberi sokongan dalam tugasan kumpulan yang diberikan, membuat guru ingin mengetahui sebabnya; guru mendapati seorang guru mata pelajaran lain menggunakan teknik pengajaran berasaskan ICT dengan jayanya di dalam kelas, dan beliau ingin mengetahui sama ada teknik tersebut boleh berjaya diaplikasikan dalam mata pelajaran yang diajarnya atau sebaliknya. Oleh itu guru tersebut mencari jalan untuk mengaplikasikan ICT dalam mata pelajaran yang diajarnya dan mencubanya dalam tindakan kelas. Pendek kata, seseorang pengamal (guru) akan sentiasa berdepan dengan masalah, yang terjadi apabila nilai-nilai yang dipegang bertentangan dengan apa yang berlaku dalam amalan, yang menyebabkan suatu penambahbaikan perlu dicari (Kemmis & Mctaggart,1982; Whitehead,1985). Situasi tersebut akan memberi idea untuk memulakan suatu kajian tindakan.
Kemmis & McTaggart (1988) menggariskan empat langkah penting bagi menjalankan kajian tindakan; (a) membina suatu rancangan tindakan bagi membaiki sesuatu yang sedang berlangsung, (b) melaksana rancangan yang dibina, (c) memerhati kesan pelaksanaan dalam konteks bilik darjah, dan (d) mereflek atau mengimbas kembali kesan yang terjadi sebagai asas untuk merancang tindakan seterusnya.

Madzniyah et.al (1995) pula telah mengemukakan prosedur atau proses pelaksanaan kajian tindakan mengikut langkah-langkah berikut:
  • -          Mengenal pasti isu atau masalah atau situasi
  • -          merancang tindakan
  • -          melaksanakan langkah-langkah tindakan
  • -          meninjau dan mengutip data
  • -          tindakan untuk gelungan atau kitaran kedua

McNiff et al (1996) pula berpandangan bahawa asas proses kajian tindakan boleh digambarkan sebagai:
  • -          meninjau amalan semasa
  • -          mengenal pasti sesuatu aspek yang hendak diperbaiki
  • -          membayangkan langkah ke hadapan
  • -          cuba membuat atau mengambil catatan apa yang berlaku
  • -          mengubah suai perancangan berdasarkan apa yang ditemui dan meneruskan tindakan
  • -          menilai model yang telah diubah suai dan seterusnya sehingga berpuas hati dengan semua aspek dalam kajian

Walau bagaimanapun, pandangan ahli akademik di atas, apa yang dapat disimpulkan ialah proses suatu kajian tindakan itu ternyata telah memperlihatkan satu kitaran yang jelas yang patut dipatuhi oleh pengamalnya.

2. Membina Rancangan Tindakan
Setelah mendapat idea awal untuk memulakan langkah kajian tindakan, penyelidik (guru) perlu membina rancangan untuk bertindak ke arah penambahbaikan. Sebagai permulaan, penyelidik perlu menilai situasi sedia ada bagi mendapatkan maklumat yang akan membantunya merancang tindakan yang bakal diambil. Contohnya, apabila hampir separuh daripada sekumpulan gagal dalam ujian topikal yang ditadbir, maklumat terperinci diperlukan tentang soalan-soalan yang gagal dijawab oleh kumpulan pelajar berkenaan. Maklumat ini dapat diketahui dengan merujuk kepada isi kandungan yang gagal difahami oleh pelajar sehinggakan tidak dapat menjawab soalan yang berkaitan dengan topik berkenaan dalam ujian topikal. Kemudian berdasarkan maklumat yang terkumpul, penyelidik boleh membentuk soalan penyelidikan:

-          Apakah aspek-aspek yang belum difahami oleh pelajar  tentang topik yang diajar?
-          Apakah kesukaran yang dihadapi oleh pelajar dalam memahami aspek-aspek tersebut?
-          Bolehkah masalah ini diatasi dengan mengajar semula topik tersebut dengan kaedah pembelajaran masteri?

Setelah soalan-soalan penyelidikan Setelah soalan-soalan penyelidikan dibentuk, penyelidik perlu membina suatu kerangka penyelidikan. Bagi kelas yang terlibat, beberapa ujian diagnostik perlu dibina bagi mengesan kelemahan pelajar ,serta beberapa contoh yang lebih mudah digunakan dalam pengajaran semula. kemudian, satu ujian setara dengan ujian topikal hendaklah dirangka bagi memastikan sekurang-kurangnya 80% daripada pelajar dapat menjawab kesemua soalan yang dikemukakan.

3. Melaksana Tindakan
Setelah membina rancangan tindakan, tiba masanya bagi pelaksanaan. Penyelidik (guru) perlu menyemak kembali kertas jawapan pelajar bagi mengenal pasti soalan-soalan yang gagal dijawab oleh kebanyakan mereka, diikuti oleh ujian diagnostik bagi mengesan kesukaran serta kekeliruan yang dihadapi oleh pelajar tentang topik yang diajar. Setelah itu, penyelidik akan mengajar semula topik berkenaan dengan memberi contoh-contoh yang lebih mudah difahami oleh pelajar serta disertai dengan latihan dan bimbingan bagi setiap pelajar secara individu.

4.  Memerhati Kesan Pelaksanaan
Semasa tindakan sedang diambil, penyelidik akan mula mengesan perubahan  dalam kalangan pelajar terbabit, jika ada. Tindak balas yang diberikan oleh pelajar semasa pengajaran semula yang memberi fokus terhadap aspek-aspek yang sukar difahami akan memberi maklum balas kepada penyelidik. Akhir sekali, keputusan ujian setara tentang topik yang diajar akan memberi maklum balas sama ada tindakan yang dilaksanakan berjaya mengurangkan bilangan pelajar yang gagal kepada hanya 20% daripada keseluruhan pelajar.

5.  Mereflek

Kesan yang berlaku dalam sesuatu penyelidikan walaupun positif masih boleh dipertingkatkan lagi. Hal ini dapat dilakukan melalui refleksi yang dapat membantu penyelidik mengenal pasti kelemahan dalam ujian diagnostik yang tidak dapat mengesan kelemahan tertentu dalam kalangan pelajar. Di samping itu, pelajar mungkin gagal menjawab aspek-aspek lain dalam ujian setara, berikutan kefahaman pelajar yang tidak kekal untuk tempoh masa panjang. Secara amnya, penyelidik perlu mencari idea untuk mengatasi masalah retention kefahaman pula, dan ini akan menjurus kepada satu lagi pusingan penyelidikan baru yang perlu dirancang untuk tindakan seterusnya.